Tuesday, October 21, 2008

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Pada zaman alaf baru ini, ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Mereka sanggup menghabiskan wang untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak dengan mencari institusi yang terbaik dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka. Namun mereka tidak mengambil berat tentang pendidikan agama terhadap anak-anak mereka yang menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Oleh itu, ibu bapa sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama dan akhlak dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Jiwa anak-anak mesti dibekalkan dengan elemen-elemen positif sebagai pelindung daripada ajaran-ajaran yang menyeleweng di masa hadapan. Namun apa yang menyedihkan ialah pendidikan agama untuk anak-anak hari ini hanya dianggap sebagai perkara sampingan sekadar mengisi masa-masa lapang apabila pulang dari sekolah. Walhal pendidikan agama dan akademik sebenarnya mestilah seiring dalam merangka kejayaan di dunia dan di akhirat. Ibu bapa perlu ingat bahawa Islam tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan kepada akhirat. Tetapi Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan akan datang.

Justeru, ibu bapa hendaklah bijak dalam membuat keputusan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak agar pendidikan agama tidak diabaikan. Bab kata pepatah Arab “mendidik sewaktu kecil bagai melukis di atas batu, mendidik sewaktu dewasa bagai melukis di atas air”. Samalah juga dengan pepatah Melayu yang sering kita gunakan iaitu “jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

1 comment:

elaniey said...

betul..ibu bapa perlu lebih menekankn pendidikan agama kepada anak-anak supaya hasil daripada pendidikan tersebut kehidupan anak-anak sentiasa ke arah kebaikan dan bukannya ke arah kesesatan..InsyaAllah anak-anak akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat..