Wednesday, October 22, 2008

ISU NEGARA ISLAM (ISU PALESTIN)

Isu pergolakan di Palestin merupakan isu yang telah lama berlaku dan tidak tampak jalan penyelesaian. Semenjak tahun 1947 sehingga sekarang, bumi Palestin sentiasa dicerobohi oleh pengganas Yahudi dengan melancarkan pelbagai serangan. Serangan yang paling teruk yang memusnahkan kepentingan Masjid al-Aqsa ialah serangan yang berlaku pada 21 Ogos 1969.

Kejadian ini telah membakar semangat perjuangan umat Islam agar menentang musuh-musuh Islam sehingga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyenaraikan isu Palestin ini sebagai objektifnya yang utama iaitu menyelaras usaha pengawasan keselamatan tempat suci dan menyokong perjuangan masyarakat Palestin serta membantu mengembalikan hak-hak mereka dan wilayah Palestin.

Namun apa yang diperhatikan pada saat ini, isu Palestin masih lagi menemui jalan buntu. Di mana pihak tentera Israel masih memasuki wilayah Palestin tanpa batasan sehingga menyebabkan rakyat Palestin mengalami penderitaan dan terpaksa menjadi pelarian. Hal ini kerana wilayah-wilayah mereka dirampas, bangunan penduduk dimusnahkan dan pemimpin-pemimpin politik yang sah hasil undian ramai melalui demokrasi dibunuh. Namun tiada sebarang tindakan tribunal antarabangsa yang dikenakan ke atas Israel.

Umat Islam sepatutnya bersatu dalam memerangi musuh-musuh Islam dan membantu negara Islam yang ditindas oleh pihak musuh sebagaimana yang berlaku di Palestin. Seluruh umat Islam hendaklah mempertahankan Palestin kerana padanya terdapat masjid al-Aqsa yang merupakan tempat suci Islam yang ketiga setelah Makkah dan Madinah.

No comments: