Friday, October 24, 2008

KONSEP BLOG

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani bagi subjek PPPM 3032 iaitu Teknologi Maklumat Dakwah. Terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Zulkiple kerana memberi tugas ini kepada kami yang mengambil subjek ini. Ini kerana saya mejadi mahir dan minat dalam penulisan di dalam blog dan ia juga menjadi satu jalan untuk kita menyebarkan dakwah melalui internet.

“nyawakehidupan” adalah blog yang dihasilkan oleh saya dan menjadi blog peribadi saya dalam memperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam. Blog ini dihasilkan adalah kerana untuk mengupas tentang isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan kita di dunia ini. Di dalam blog ini saya memasukkan sepuluh isu yang perlu kita ambli berat dalam kita menjalani kehidupan ini. Antara isu-isu tersebut ialah :

  1. Isu akidah Islam
  2. Isu pendidikan anak-anak
  3. Isu ekonomi Islam
  4. Isu negara Islam
  5. Isu penghayatan Islam
  6. Isu pembinaan keluarga Islam
  7. Isu politik Islam
  8. Isu undang-undang Islam
  9. Isu ilmu-ilmu Islam
  10. Isu penuntut Islam di IPT

    Semoga blog ini menjadi pilihan para sahabat dan semua orang untuk sama-sama kita berkongsi ilmu dan menjadi panduan kepada kita untuk menjalani kehidupan di dunia akhir zaman ini. Di samping kita dapat menyampaikan dakwah kepada mereka yang mencari kebenaran. Mudah-mudahan kerja dan usaha ini mendapat keredhaan dan rahmat Allah S.W.T.

Thursday, October 23, 2008

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT

Dewasa ini, Institusi Pengajian Tinggi di negara kita semakin bertambah bilangannya samada IPTA mahupun IPTS. Dengan ini kita dapat memilih ke mana sahaja IPT yang kita suka untuk menyambungkan pelajaran di peringkat lebih tinggi selepas sekolah.

Di IPT, para pelajar tingal berjauhan daripada keluarga yang menyebabkan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Pelajar-pelajar Islam juga turut terlibat dengan masalah moral dan turut juga melakukan maksiat. Mereka tidak merasa takut untuk melakukannya kerana berjauhan dengan keluarga. Namun mereka tidak fikir bahawa Allah S.W.T sentiasa memerhati akan tingkah laku manusia. Oleh itu, para pelajar Islam di IPT hendaklah matang dalam menilai sesuatu perkara agar masyarkat tidak memandang serong terhadap kita dan selamat daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

ISU POLITIK ISLAM

Apabila membicarakan tentang isu politik, unsur yang paling penting yang mesti ada ialah unsur kepimpinan. Di mana sesebuah masyarakat yang tersusun adalah yang mempunyai kepimpinan yang dapat membimbing masyarakat ke suatu halatuju yang jelas dan bermakna. Ini kerana menegakkan institusi kepimpinan adalah satu kefardhuan di dalam Islam.

Politik di dalam Islam menjadi suatu tanggungjawab dan amanah untuk membangunkan sesebuah masyarakat yang cemerlang. Namun politik pada masa kini hanyalah dianggap sebagai satu gelanggang pertandingan di antara individu-individu yang hanya untuk memenuhi kepentingan sendiri atau kumpulan. Oleh itu, umat Islam hendaklah membuat pemilihan seorang pemimpin dengan adil dan saksama agar Negara Islam dapat berkembang maju dan rakayat dapat hidup dalam keadaan aman dan bukannnya bermusuh di antara satu sama lain di kalanagan umat Islam.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM

Undang-undang Islam memandang semua manusia dengan sama rata. Tidak ada perbezaan di antara mereka yang berpangkat tinggi atau rendah, miskin atau kaya dan pihak berkuasa atau rakyat biasa. Siapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman yang sama.

Melaksanakan undang-undang Allah S.W.T dalam sesebuah negara amatlah wajib dilaksanakan kerana itu adalah perintah daripada Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam. Namun pada hari ini, jika kita lihat undang-undang di negara kita lebih banyak menggunakan undang-undang ta’zir berbanding hukum hudud. Sepatutnya pemerintah hendaklah mengutamakan hukuman hudud yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam jenayah-jenayah hudud. Hal ini kerana sekiranya pemerintah kita melaksanakan hukuman hudud ini, nescaya masyarakat akan merasa gerun dan takut untuk melakukan jenayah dan neraga akan sentiasa dalam keadaan aman dan harmoni.

ISU ILMU-ILMU ISLAM (ILMU SAINS)

Ajaran Islam mempunyai banyak ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada manusia untuk mengharungi kehidupan. Ilmu sains juga merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu Islam yang amat penting kepada umat Islam khususnya. Ilmu sains ini dikatakan salah satu daripada ilmu-ilmu islam dapat dibuktikan di dalam al-qur’an yang mana terdapat lebih daripada 750 ayat al-Qur’an yang menerangkan tentang fenomena alam yang berkaitan dengan ilmu sains.

Penguasaan umat islam dalam bidang sains ini berikutan dari kemunculan para cendikiawan dan saintis muslim yang terkemuka pada zaman dahulu. Kesan penemuan dan penguasaan sains pada zaman dahulu, maka umat Islam dapat memajukan taraf hidup mereka. Islam disegani oleh penganut agama lain kerana kemampuan umatnya serta saranan agama islam yang menggalakkan umatnya menuntut perlbagai ilmu berteraskan kepada syariat yang terdapat dalam al-quran dan hadis

Wednesday, October 22, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM (BUDAYA MEMBACA)

Ilmu pengetahuan adalah anugerah Allah S.W.T yang amat besar faedahnya kepada manusia. Ia merupakan cahaya yang menerangi kegelapan hidup. Tanpa ilmu hidup manusia akan dibelenggu oleh kejahilan dan kelemahan. Justeru untuk membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan kelemahan, Rasulullah S.A.W telah menegaskan kewajipan mencari ilmu pengetahuan kepada kita semua sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu difardhukan ke atas setiap muslim”

Untuk mencapai ilmu tersebut perlu ada penghayatan budaya Iqra’ iaitu budaya membaya dalam diri setiap orang Islam. Budaya membaca bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan masyarakat Islam bahkan ia sebenarnya telah diketahui dan dihayati sejak dari mula al-qur’an diturunkan.

Dalam usaha merealisasikan budaya membaca dalam masyarakat Islam, wajarlah bagi kita untuk memberi perhatian kepada perkara berikut :-

1. Mendidik anak-anak sejak dari usia kecil mereka dengan tabiat suka membaca.

2. Melatih diri supaya mengamalkan tabiat membaca secara berterusan dengan memperuntukkan tempoh masa tertentu untuk membaca pada setiap hari.

3. Mengutamakan bahan-bahan bacaan yang bersifat ilmiah dan yang tidak keterlaluan.

4. Membanyakkan bahan bacaan dalam berbagai bahasa kerana ia dapat membantu kita untuk mendapat lebih maklumat, terutamanya mengenai sesuatu perkara yang hanya diterbitkan dalam bahasa tertentu sahaja.

Selain daripada itu kita juga boleh menghidupkan budaya membaca ini melalui pengnjuran berbagai majlis ilmu seperti diskusi, pameran buku, ceramah, forum, seminar dan sebagainya. Oleh itu, untuk melahirkan masyarakat yang berilmu maka penghayatan budaya membaca mestilah didokong oleh segenap lapisan umat Islam.

ISU EKONOMI ISLAM

Ekonomi ialah antara aspek terpenting yang perlu digerakkan bagi memastikan kelancaran sesebuah organisasi. Ekonomi boleh didefinisikan sebagai pentadbiran tentang bagaimana sumber-sumber ekonomi itu digunakan bagi kepentingan masyarakat. Ini bermakna, sesebuah kerajaan itu kukuh dan kuat bergantung kepada keadaan ekonominya. Jika ekonomi stabil dan tinggi, sudah pasti sesebuah kerajaan akan kukuh dan kuat sehingga dihormati dan disegani oleh dunia.

Namun apabila diperhatikan tentang ekonomi negara-negara Islam pada hari masih mundur. Hal ini kerana tiada kesedaran di kalangan umat Islam untuk memajukan ekonomi negara mereka. Di mana mereka lebih mementingkan jenama yang terkenal untuk memiliki sesuatu benda. Tetapi mereka tidak memikirkan bahawa tindakan mereka itu hanyalah membantu ekonomi negara bukan Islam yang sememangnya telah maju dan ekonominya yang stabil.


Di samping itu, umat Islam pada hari ini harus sedar bahawa setiap barang yang dibeli dan dimiliki mestilah diambil kira tahap kesuciannya dan siapa yang mengeluarkannya. Sekiranya kita tidak mempedulikan semua itu maka secara tidak langsung kita menyokong perkembangan ekonomi negara bukan Islam dan menghancurkan ekonomi negara sendiri. Oleh itu, kita sepatutnya bersungguh-sungguh menegakkan kekuatan ekonomi Islam agar negara Islam tidak dapat ditindas oleh musuh-musuh Islam.

ISU NEGARA ISLAM (ISU PALESTIN)

Isu pergolakan di Palestin merupakan isu yang telah lama berlaku dan tidak tampak jalan penyelesaian. Semenjak tahun 1947 sehingga sekarang, bumi Palestin sentiasa dicerobohi oleh pengganas Yahudi dengan melancarkan pelbagai serangan. Serangan yang paling teruk yang memusnahkan kepentingan Masjid al-Aqsa ialah serangan yang berlaku pada 21 Ogos 1969.

Kejadian ini telah membakar semangat perjuangan umat Islam agar menentang musuh-musuh Islam sehingga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyenaraikan isu Palestin ini sebagai objektifnya yang utama iaitu menyelaras usaha pengawasan keselamatan tempat suci dan menyokong perjuangan masyarakat Palestin serta membantu mengembalikan hak-hak mereka dan wilayah Palestin.

Namun apa yang diperhatikan pada saat ini, isu Palestin masih lagi menemui jalan buntu. Di mana pihak tentera Israel masih memasuki wilayah Palestin tanpa batasan sehingga menyebabkan rakyat Palestin mengalami penderitaan dan terpaksa menjadi pelarian. Hal ini kerana wilayah-wilayah mereka dirampas, bangunan penduduk dimusnahkan dan pemimpin-pemimpin politik yang sah hasil undian ramai melalui demokrasi dibunuh. Namun tiada sebarang tindakan tribunal antarabangsa yang dikenakan ke atas Israel.

Umat Islam sepatutnya bersatu dalam memerangi musuh-musuh Islam dan membantu negara Islam yang ditindas oleh pihak musuh sebagaimana yang berlaku di Palestin. Seluruh umat Islam hendaklah mempertahankan Palestin kerana padanya terdapat masjid al-Aqsa yang merupakan tempat suci Islam yang ketiga setelah Makkah dan Madinah.

Tuesday, October 21, 2008

ISU AKIDAH ISLAM

Kebelakangan ini isu murtad sudah tidak asing lagi di negara kita. Kalimah itu disebut tanpa membimbangkan sesiapa walhal pada hakikatnya perlu diberi perhatian yang teliti kerana isu ini berkaitan dengan akidah seseorang muslim itu sendiri yang akan menyebabkan berlaku kekufuran kepada Allah S.W.T.

Fenomena murtad ini merupakan penyakit sosial yang pastinya akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Jenayah ini merupakan proses kembali kepada kekufuran atau kesyirikan setelah mengakui keimanan. Dosa syirik terlalu besar sehinggakan Allah tidak mengampuni bagi mereka yang menyekutukan Allah S.W.T. Peringatan ini perlulah dihayati dan disebarkan kepada semua orang Islam agar terus berwaspada.

Kenapakah jenayah murtad ini terjadi? Hal ini kerana mungkin disebabkan oleh hidangan hiburan yang melampau-lampau sehingga timbul budaya hedonisme yang tampak tiada batasan mahupun sekatan. Pelbagai persoalan akan terus-menerus timbul seandainya masalah akidah Islam ini tidak diatasi dengan segera.

Pemulihan akidah wajar dilaksanakan dengan mekanisme yang mapan dan utuh agar akidah umat Islam dapat diselamatkan. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang berbentuk mengelak lebih baik daripada merawat seperti hukuman hudud yang menetapkan hukuman bunuh. Hal ini kerana penjenayah murtad akan terus murtad dan jumlahnya akan terus bertambah dari hari ke hari.

Justeru, marilah kita memahami fenomena murtad ini agar orang-orang yang hampir dengan kita tidak terjebak ke arahnya dan mudah-mudahan akidah umat Islam dapat diselamatkan daripada syirik dan kufur kepada Allah S.W.T. Di mana tiada pengampunan daripada Allah dan nerakalah tempat yang kekal untuk selama-lamanya.

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Pada zaman alaf baru ini, ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Mereka sanggup menghabiskan wang untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak dengan mencari institusi yang terbaik dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka. Namun mereka tidak mengambil berat tentang pendidikan agama terhadap anak-anak mereka yang menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Oleh itu, ibu bapa sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama dan akhlak dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Jiwa anak-anak mesti dibekalkan dengan elemen-elemen positif sebagai pelindung daripada ajaran-ajaran yang menyeleweng di masa hadapan. Namun apa yang menyedihkan ialah pendidikan agama untuk anak-anak hari ini hanya dianggap sebagai perkara sampingan sekadar mengisi masa-masa lapang apabila pulang dari sekolah. Walhal pendidikan agama dan akademik sebenarnya mestilah seiring dalam merangka kejayaan di dunia dan di akhirat. Ibu bapa perlu ingat bahawa Islam tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan kepada akhirat. Tetapi Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan akan datang.

Justeru, ibu bapa hendaklah bijak dalam membuat keputusan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak agar pendidikan agama tidak diabaikan. Bab kata pepatah Arab “mendidik sewaktu kecil bagai melukis di atas batu, mendidik sewaktu dewasa bagai melukis di atas air”. Samalah juga dengan pepatah Melayu yang sering kita gunakan iaitu “jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Dewasa ini, keruntuhan dan pergolakan rumahtangga sering berlaku dalam sesebuah keluarga. Malah terdapat banyak kes-kes penceraian yang berlaku di negara kita. Oleh itu, sebelum kita membina sebuah keluarga kita hendaklah merancang terlebih dahulu untuk membina kelurga Islam yang bahagia dan harmoni. Di mana kita hendaklah membina visi dan misi untuk membina keluarga Islam yang bahagia iaitu mewujudkan keluarga yang berlandaskan kehidupan beragama yang menyumbang kepada pembangunan anggotanya dan masyarakat bagi memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi.

Di samping itu, menjadikan keluarga sebagai satu institusi yang upaya menyerlahkan tuntutan tauhid yang kukuh, menghayati kehidupan yang soleh, berkasih saying sesame anggotanya dan membangunkan masyarakat ke arah kejayaan dan diredhai oleh Allah S.W.T. Sesebuah keluarga itu perlu mengekalkan sifat-sifat hubungan komunikasi yang memahami, menghormati dan berkasih-sayang di antara ahli keluarga dengan berlandaskan pegangan agama.